Profil Pegawai Pendidikan Daerah
- Category: Info PPD
- Published: Friday, 14 August 2020 02:38
- Written by Administrator PPDSB
- Hits: 1990
Pegawai Pendidikan Daerah
Cikgu Mohd Jaluli Bin Hj Yahaya
Mohd. Jaluli Bin Hj. Yahaya dilahirkan pada 20 April 1963 dan dibesarkan di Kampung Pekan Selasa, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor. Beliau merupakan anak bongsu daripada 11 orang adik beradik. Mendapat pendidikan rendahnya di Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Dorani bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1975. Meneruskan pendidikan di peringkat sekolah menengah di SMK. Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor (1976-1978). Melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Empat Sains di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah, Klang (1979-1980). Meneruskan pelajaran ke Tingkatan Enam di SMK. Sungai Besar sehingga tahun 1982. Beliau mendapat Ijazah Sarjanamuda Sastera dengan Kepujian (B.A (Hons)) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada tahun 1987 dan memperolehi Diploma Pendidikan (Kepujian) di universiti yang sama pada tahun 1988. Beliau menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (1999-2001) dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu. Beliau juga telah memperolehi Diploma Pentadbiran Pendidikan dan Sijil NPQEL dari Institut Aminuddin Baki pada tahun 2014.
Kerjaya guru beliau bermula sebagai Guru Penolong di SMK. Badin, Tuaran, Sabah pada tahun 1988. Seterusnya sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah yang sama (1991-1993) dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (1994-1995). Pada pertengahan tahun 1995 beliau telah bertukar mengajar di SMK. Agama Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor sehingga tahun 2002. Pada tahun 2003 beliau telah dilantik sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SMK. Seri Bedena, Sungai Besar, Selangor sehingga tahun 2004.
Pada tahun 2005 beliau telah dilantik sebagai Ketua Unit Kualiti dan Dokumentasi di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam sekaligus menjadi Pengurus Kualiti. Sebagai Pengurus Kualiti beliau telah banyak terdedah dengan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) berasaskan MS ISO 9001. Beliau terlibat membina Dokumen Kualiti PPD Sabak Bernam dan Dokumen Kualiti Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga PPD Sabak Bernam Berjaya memperolehi Persijilan MS ISO 9001:2005 sendiri oleh pihak Sirim pada tahun 2006. Beliau juga telah dilantik sebagai Juru Audit Dalam Sistem Pengurusan Kualiti Bahagian Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Juru Audit Dalam SPK PPD Negeri Selangor (2005-2013). Pada tahun 2009, beliau telah dilantik sebagai Ketua Unit Pengurusan Akademik PPD. Sabak Bernam (2009-2013) dan pada Oktober 2013 beliau telah dilantik memegang jawatan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam.
Kerjaya beliau sebagai Pengetua adalah bermula pada 30 Jun 2014 di SMK. Munshi Abdullah, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor, sehingga 15 April 2015. Pada 16 April 2015 mula bertugas sebagai Pengetua di SMK. Tunku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam, Selangor iaitu merupakan Sekolah Pusat Tingkatan Enam Daerah Sabak Bernam yang bermula pada 2016 bertukar menjadi Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra (KiSTARP). Pada 24 Disember 2018, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam sehinggalah sekarang. Sepanjang perkhidmatan beliau, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Kementerian Pelajaran Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1998, tahun 2008 dan pada tahun 2018. Bagi beliau, kejayaan dan kecemerlangan sebenar sesebuah sekolah dapat dicapai apabila kecemerlangan menjadi satu budaya dengan kerjasama semua warga sekolah tersebut yang memainkan peranan masing-masing dengan berkesan. Melaksanakan segala tanggungjawab atas dasar keikhlasan dan sentiasa membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa agar tugas dilaksanakan dengan penuh keseronokan dan kebijaksanaan. Sebagai Pegawai Pendidikan Daerah, beliau telah menerapkan tag line Sederap PPD Sabak Bernam Terbilang untuk mewujudkan kesatuan semangat dan matlamat yang sama agar pendidikan di Sabak Bernam mencapai tahap terbilang.